Pages

Al-Quran Link

Quran Explorer - Interactive Audio Recitations & Translations

Saturday, July 9, 2011

Hebatnya berada di USM~Konvensyen Astronomi~

Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh buat semua pembaca blog ini.

Konvensyen Astronomi yang diadakan di USM dari 7-9 Julai 2011 sangat memberangsangkan. Pelbagai pameran diadakan sepanjang Konvensyen Astronomi ini. Pada mulanya, sambutan pameran ini tidaklah begitu meriah. Akan tetapi, pada hari ke-3, pameran ini mula mendapat sambutan hangat.

 Pelbagai pertandingan dianjurkan oleh pihak USM. Seorang pelajar cemerlang mewakili SMKA Al-Irshad dalam pertandingan pidato falak. Asyraf Zawawi bin Abdul Karim berjaya mengharumkan nama sekolah dengan merangkul gelaran juara dalam pertandingan pidato falak peringkat negeri kategori lelaki. Tajuk pidato yang disampaikan olehnya ialah 'Rahsia dan Hikmah Penciptaan Alam Semesta Menurut Perspektif Falak'. Nuha Nusaibah binti Muhammad Zawave mewakili sekolah dalam pertandingan pidato falak kategori perempuan yang berjaya mendapat saguhati dengan pidatonya yang bertajuk 'Kepentingan Ilmu Falak Dalam Menyempurnakan Ibadah Orang Islam'. Kami berbangga dengan penyertaan para pelajar demi mengharumkan nama SMKA Al-Irshad.


Di samping itu, SMKA Al-Irshad turut menghantar pelajar tingkatan satu dan dua untuk menyertai Seminar Munaqasyah Falak di Dewan Persidangan USM. Mereka mandapat banyak ilmu pengetahuan dengan menyertai seminar tersebut. Tajuk yang dibincangkan semasa seminar berlangsung ialah 'Isu-Isu Berkaitan Penetapan Takwim Hijri' yang disampaikan oleh Dr, Baharrudin bin Zainal. Beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi di Universiti Sultan Zainal Abidin. Sepanjang seminar berlangsung, semua sidang hadirin memberikan sepenuh perhatian untuk mendapatkan serba sedikit maklumat terkini tentang ilmu falak.

Suasana sepanjang Konvensyen Astronomi di USM pada hari pertama dan kedua tidak begitu meriah. Pada hari ke-3, Dato' Dr. Sheikh Muzaphar datang untuk menambahkan lagi seri pameran tersebut. Kami sempat bergambar bersama beliau. Kami sempat juga berbual-bual bersama beliau di samping bertanyakan hal hal berkenaan aeroangkasa. Ada pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak USM sepanjang pameran ini berlangsung. Antaranya, pertandingan mewarna terbuka kepada semua kategori. Hadiah yang agak lumayan turut disediakan buat pemenang-pemenang pertandingan tersebut.

Pihak USM yang turut bermurah hati menyediakan 'StarLab' secara percuma. Dengan ini, mereka berharap semua pengunjung semakin berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang astronomi. Bidang astronomi tidak begitu mendapat sembutan pada zaman era teknologi ini. Justeru, pihak USM berusaha mengadakan pelbagai aktiviti untuk menarik minat para belia agar berkecimpung dalam bidang astronomi.

Akhir bicara, saya turut berharap agar aktiviti seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang. Semua pihak sewajarnya berminat dalam bidang ini untuk meningkatkan martabat bangsa dan negara.
Sekian, terima kasih.













dari kami,
unit penerbitan
kelab falak syarie/2011